Monday, December 27, 2010

PROGRAM SMART SOLAT TAMAN IMPIAN PUTRA

Y.Bhg. Datuk/ Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan,

Dimaklumkan bahawa Surau Ar-Rahman melalui Biro Dakwah akan menganjurkan 'Program Smart Solat Taman Impian Putra' seperti ketetapan berikut:

Tarikh   : 16 Januari 2011/ 11 Safar 1432 (Ahad)
Masa    : 8.00 pagi - 5.30 petang
Tempat : Surau Ar-Rahman, Taman Impian Putra
Yuran   : RM10.00 seorang

Program ini adalah terbuka kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan berumur antara 10 - 17 tahun dan dikendalikan oleh pelajar-pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Borang penyertaan bolehlah diperolehi di Pondok Pengawal.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Ust Raja Anuar bin Raja Malik Reznan di alamat 23 Jalan IP 4/4B atau telefon 019-679 9098.

Tarikh tutup penyertaan adalah 12hb Januari 2011.

BIRO DAKWAH
Surau Ar-Rahman
Taman Impian Putra Jalan 4 Bangi Selangor.

Sunday, December 26, 2010

'LIVE' PIALA SUZUKI AFF DI PADANG TIP

Y.Bhg. Datuk/ Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan,

Dimaklumkan bahawa perlawanan akhir pertama bolasepak Piala Suzuki AFF antara Malaysia vs Indonesia akan ditayangkan dengan menggunakan 'skrin' besar seperti berikut:

Tarikh   : 26hb Disember 2010 (Ahad)
Masa    : 8.00 malam
Tempat : Padang Permainan TIP Jalan 4

Y.Bhg. Datuk/ Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan adalah dipersilakan hadir beramai-ramai bagi menyokong pasukan Malaysia. Sila bawa tikar, kerusi dan segala kemudahan lain yang bersesuaian untuk keselesaan diri masing-masing.

MALAYSIA BOLEH!!!

(Tertakluk kepada keadaan cuaca)

Saturday, December 25, 2010

PERTANDINGAN MENCIPTA LOGO RASMI TIP JALAN4

Y.Bhg. Datuk/ Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan,

Persatuan Penduduk Jalan 4 Taman Impian Putra (PPJ4TIP) dengan ini menjemput semua warga Taman Impian Putra Jalan 4 yagn berdaftar untuk menyertai Pertandingan Mencipta Logo Rasmi Taman Impian Putra Jalan 4. Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk mewujudkan sebuah logo yang boleh diguna pakai oleh Taman Impian Putra Jalan 4 untuk setiap urusan rasmi.

Pertandingan ini hanya dibuka kepada penduduk TIP yang telah mendaftar secara rasmi menjadi ahli Persatuan Penduduk Jalan 4 Taman Impian Putra  (PPJ4TIP).

Syarat-syarat pertandingan:

1) Pertandingan ini terbuka kepada semua warga penduduk TIP yang telah mendaftar sebagai ahli PPJ4TIP.
2) Semua ciptaan hendaklah mengambil kira konsep kerjasama di dalam satu komuniti taman.
3) Rekacipta hendaklah asli dan warna hendaklah tidak lebih dari tiga (3) warna.
4) Rekacipta boleh dilukis secara 'free-hand' atau menggunakan kaedah teknologi grafik.
5) Rekacipta hendaklah dihantar dalam bentuk cetakan di atas kertas bersaiz A4 atau para peserta juga  
    dialu-alukan menghantar ciptaan dalam bentuk 'softcopy' yang disimpan dalam CD atau e-mailkan ke orthodox81@gmail.com.
6) Para peserta bolehlah mendapatkan maklumat berkaitan PPJ4TIP di laman blog http://timpianputra.blogspot.com/.
7) Para peserta boleh menghantar seberapa banyak penyertaan tetapi setiap penyertaan hendaklah dinyatakan nama, alamat surat menyurat, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan e-mail yang boleh dihubungi.
8) Pemenang hanya layak menerima satu hadiah sahaja.
9) Semua penyertaan tidak akan dikembalikan dan boleh digunakan semua oleh PPJ4TIP tanpa sebarang syarat.
10) Para pengadil yang akan mengadili pertandingan ini adalah dilantik dikalangan Jawatankuasa PPJ4TIP.
11) Pemenang akan dihubungi melalui telefon/ e-mail/ surat setelah juri mendapat keputusan muktamad.

Penilaian Pemenang

Penilaian akan dibuat oleh pengadil yang akan dilantik oleh Jawatankuasa PPJ4TIP. Keputusan pemenang yang dibuat oleh Jawatankuasa PPJ4TIP adalah muktamad. Sebarang bantahan tidak akan diterima oleh Jawatankuasa PPJ4TIP.

Hadiah

Jawatankuasa PPJ4TIP menawarkan hadiah sebanyak RM200.00 untuk pemenang yang berjaya.

Sila hantarkan penyertaan kepada:

Urusetia
Pertandingan Mencipta Logo PPJ4TIP
Taman Impian Putra
43000 Kajang
Selangor

atau

E-mailkan kepada : orthodox81@gmail.com

Tarikh tutup pertandingan ini pada 16 Januari 2011 jam 12.00 malam.

Sekian terima kasih.

ZULHAIRI BIN YUSOFF
Ketua Biro Tugas-tugas Khas
b.p. Yang Dipertua
Persatuan Penduduk Jalan 4 Taman Impian Putra

Tel : 017-609 1209

Thursday, December 23, 2010

KEJOHANAN BOWLING TERTUTUP TIP

Y.Bhg. Datuk/ Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan,

Dimaklumkan bahawa Persatuan Penduduk Jalan 4 Taman Impian Putra (PPJ4TIP) melalui Biro Sukan dan Rekreasi akan menganjurkan "Kejohanan Bowling Tertutup TIP" seperti ketetapan berikut:

Tarikh   : 9hb Januari 2011 (Ahad)
Masa    : 10.30 pagi
Tempat : Alamanda, Putrajaya.

Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM20.00 untuk seorang pemain dan terhad kepada 80 orang terawal sahaja. Sila dapatkan borang penyertaan di Pondok Pengawal.

Borang yang telah lengkap diisi hendaklah disertakan dengan bayaran. Pihak penganjur berhak untuk menolak borang yang tidak disertakan dengan bayaran.
Kerjasama dan sokongan Y.Bhg. Datuk/ Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan sangat dihargai.

Sekian, terima kasih.

AZIZAN BIN AHMAD
Ketua Biro Sukan dan Rekreasi
b.p. Yang Dipertua
Persatuan Penduduk Jalan 4 Taman Impian Putra

Tuesday, December 21, 2010

KEAHLIAN DAN YURAN BULANAN PERSATUAN PENDUDUK

Y.Bhg. Datuk/ Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan,

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

Sepertimana Y.Bhg. Datuk/ Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan sedia maklum Persatuan Penduduk Jalan 4 Taman Impian Putra (PPJ4TIP) telah didaftarkan pada 28 Jun 2010 dan telah mengadakan mesyuarat agung kali pertama pada 17 Oktober 2010 yang lalu. Walau bagaimanapun jumlah keahlian persatuan ini masih ditahap minimum. Jawatankuasa PPJ4TIP mengalu-ngalukan Y.Bhg. Datuk/ Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan untuk mendaftar sebagai ahli persatuan. Borang keahlian bolehlah diperolehi di Pondok Pengawal TIP.

Untuk makluman Y.Bhg. Datuk/ Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan juga sebagaimana yang telah termaktub dalam undang-undang tubuh PPJ4TIP Fasal 5 (1) iaitu:

"Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut:
Bayaran masuk RM10.00 (Ringgit Malaysia Sepuluh Sahaja).
Bayaran bulanan RM30.00 (Ringgit Malaysia Tiga Puluh Sahaja)."

Oleh yang demikian, borang keahlian yang telah lengkap diisi hendaklah disertakan dengan bayaran yuran sebanyak RM10.00. Manakala yuran bulanan yang dikenakan adalah sebanyak RM30.00.

Bagi memudahkan Y.Bhg. Datuk/ Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan untuk membayar yuran bulanan, Jawantakuasa PPJ4TIP telah menetapkan kaedah bayaran seperti berikut:
  • Dengan menggunakan cek, bank, wang pos atas nama PERSATUAN PENDUDUK JALAN 4 TAMAN IMPIAN PUTRA atau secara on-line ke akaun Maybank no. 562834611473. Maklumat pembayar seperti nama dan alamat rumah hendaklah dimaklumkan kepada Bendahari melalui sms 014-2164037 atau e-mail timpianputra@yahoo.com bagi pengeluaran resit. Bayaran secara on-line ini amatlah digalakkan.
  • Melalui kaunter kutipan yang akan beroperasi di Pondok Pengawal pada 1hb hingga 7hb setiap bulan.
  • Melalui wakil jalan yang telah dilantik.
Untuk makluman Y.Bhg. Datuk/ Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan yuran bulanan yang dikenakan sebanyak RM30.00 ini adalah bertujuan untuk membayar gaji pengawal keselamatan, membiayai aktiviti persatuan dan perbelanjaan-perbelanjaan lain yang melibatkan persatuan seperti yang terkandung dalam Fasal 10 undang-undang tubuh PPJ4TIP.

Kerjasama dan sokongan Y.Bhg. Datuk/ Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan amatlah dihargai.

Sekian terima kasih.

MOHD HAFIZAN BIN ROJALAI
Bendahari
b.p. Yang Dipertua
Persatuan Penduduk Jalan 4 Taman Impian Putra

Monday, December 20, 2010

MESYUARAT AJK SURAU AR-RAHMAN

Assalamualaikum w.b.t.

Semua AJK Surau Ar-Rahman,

Dimaklumkan bahawa satu mesyuarat AJK Surau Ar-Rahman akan diadakan seperti berikut:

Tarikh   : 23hb Disember 2010/ 17 Muharram 1432H (Khamis)
Masa    : Selepas solat Isya'
Tempat : Surau Ar-Rahman Taman Impian Putra Bangi Selangor

Semua AJK Surau adalah dipersilakan hadir.

HAJI MOHAMED BIN OTHMAN
Pengerusi
Surau Ar-Rahman

Wednesday, December 8, 2010

SALAM MAAL HIJRAH 1432H

Monday, December 6, 2010

SELAMAT TAHUN BARU 1432H


Thursday, December 2, 2010

KEJOHANAN FUTSAL TERTUTUP TIP JALAN 4

Wednesday, November 24, 2010

SAMBUTAN AIDILADHA DI TAMAN IMPIAN PUTRA JALAN 4

17 Nov - Sambutan Hari Raya Aidiladha bagi tahun 2010/ 1431H telah diadakan buat pertama kalinya di Taman Impian Putra Jalan 4 Bangi Selangor. Sebanyak empat (4) ekor lembu telah dikorbankan. Sambutan Aidiladha dimulakan dengan sembahyang sunat Aidiladha pada jam 8.00 pagi yang telah diadakan di Padang Permainan Taman Impian Putra Jalan 4. Imam dan Khatib pada hari tersebut adalah Y.Bhg. Ust. Muhammad Najib bin Abdullah.

taklimat sebelum solat aidiladha

Ust. Najib menyampaikan khutbah

kaum muslimin yang hadir


muslimat turut tidak ketinggalan


antara yang gembira dihari raya
Selesai Solat Sunat Aidiladha kira-kira jam 9.30 pagi semua penduduk TIP Jalan 4 berkumpul di Surau Ar-Rahman bagi menjalankan Ibadah Qurban. Dengan bantuan semua penduduk TIP Jalan 4 yang hadir, Ibadah Qurban tersebut dapat berjalan dengan lancar.


salah seekor lembu qurban

antara lembu qurban yang sedang dilapah





kaum ibu sedang menyaipkan juadah makan tengahari

daging qurban yang sudah siap untuk diagihkan
Alhamdulillah, berkat kerjasama antara penduduk TIP Jalan 4 semua daging qurban dapat diagihkan dan hidangan makan tengahari juga dapat disiapkan kira-kira jam 12.30 tengahari. Tuan Haji Mohamed bin Othman selaku Pengerusi Surau Ar-Rahman mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penduduk TIP Jalan 4 yang telah banyak membantu bagi menjayakan Ibadah Qurban ini. Beliau cukup terharu dengan sambutan yang telah diberikan.

Semoga Ibadah Qurban seperti ini dapat diteruskan pada tahun hadapan, InsyaAllah.

Monday, November 22, 2010

e-GROUP TAMAN IMPIAN PUTRA JALAN 4

Y.Bhg. Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan yang dihormati,

Dimaklumkan bahawa e-group bagi Taman Impian Putra Jalan 4 telah diwujudkan. Sila layari html di bawah untuk menjadi ahli e-Group Taman Impian Putra Jalan 4.

http://groups.yahoo.com/subscribe/timpianputra6
Semoga e-Group ini dapat menyalurkan maklumat-maklumat terkini kepada semua penduduk berkenaan aktiviti atau program Taman Impian Putra Jalan 4 Bangi Selangor.

Thursday, November 18, 2010

SALAM PENGHARGAAN

Y.Bhg. Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan dan Semua penduduk TIP Jalan 4,

Dikesempatan yang ada ini saya bagi pihak Jawatankuasa Surau Ar-Rahman ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dan bertungkus lumus membantu menjayakan Ibadah Qurban yang telah dianjurkan oleh Surau A-Rahman. Semoga pengorbanan dan jasa baik Y.Bhg. Dato/ Datin/ Tuan/ Puan
dan semua penduduk akan mendapat ganjaran daripada Allah S.W.T.



Pengerusi Surau Ar-Rahman

Diharapkan ukhuwah dan silaturrahim yang telah terjalin antara penduduk TIP ini dapat kita teruskan bagi mendpatkan kejayaan di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

Sekian, terima kasih.

HAJI MOHAMED BIN OTHMAN
Pengerusi
Surau Ar-Rahman

Tuesday, November 16, 2010

PERSEDIAAN MENYAMBUT AIDILADHA

14 Nov - Aktiviti gotong-royong telah pun diadakan bagi di sekitar Surau Ar-Rahman Taman Impian Putra Jalan 4 Bangi, Selangor bagi persediaan menyambut Hari Raya Aidiladha. Berikut adalah antara gambar yang sempat dirakamkan.


Pengerusi Surau Ar-Rahman sedang memberikan taklimat



kerja-kerja pembersihan surau


geng surau

Sdr. Esmail sedang bertungkus lumus menggali lubang 

lubang kecil untuk tujuan penyembelihan


antara yang turut membantu

Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua penduduk yang telah hadir bagi menjayakan program berkenaan. Program ini telah berakhir pada jam 11.00 pagi. Semoga aktiviti Qurban Surau Ar-Rahman Taman Impian Putra Jalan 4 dapat berjalan dengan lancar.

Saturday, November 13, 2010

GOTONG ROYONG

Y.Bhg. Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan dan semua penduduk yang dihormati,

Sukacita dimaklumkan bahawa satu aktiviti gotong-royong bagi membersihkan kawasan dan Surau Ar-Rahman akan diadakan seperti ketetapan berikut:

         Tarikh                    : 14hb November 2010 (Ahad)
         Masa                     : 8.00 pagi
         Tempat berkumpul : Surau Ar-Rahman

Gotong-royong ini adalah bertujuan bagi membersihkan kawasan pagar di sekeliling Taman Impian Putra Jalan 4 serta persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidiladha.

Sehubungan dengan itu tuan/ puan yang berkelapangan adalah dijemput hadir.

Sekian, terima kasih.

Sunday, November 7, 2010

KULIAH MAGHRIB DAN AKTIVITI SURAU AR-RAHMAN

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Y.Bhg. Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan dan semua penduduk TIP Jalan 4,

Sukacita dimaklumkan bahawa kuliah maghrib dan aktiviti Surau Ar-Rahman akan dijalankan bermula 7hb November 2010 (Ahad). Bersama ini disertakan jadual untuk makluman Y.Bhg. Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan dan semua penduduk.

                 AHAD          - Ust. Nor Azian bin Man Al-Hafiz
                 [Minggu Pertama dan Ketiga - Tafsir Al-Quran]


                AHAD           - Ust. Muhammad Najib bin Abdullah
                [Minggu Kedua dan Keempat - Pengajian Hadith]


                KHAMIS       - Ust. Mohd Faisal bin Ashaari
                [Setiap minggu - Bacaan Yaasin dan Tazkirah]

Sehubungan dengan itu Y.Bhg. Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan dan semua penduduk TIP dijemput hadir.

Sekian, terima kasih.

HAJI MOHAMED BIN OTHMAN
Pengerusi
Surau Ar-Rahman
Taman Impian Putra Jalan 4 Bangi Selangor

Sunday, October 31, 2010

MESYUARAT AJK SURAU AR-RAHMAN

Tuan/ Puan,

Dimaklumkan bahawa satu mesyuarat akan diadakan seperti ketetapan berikut:

             Tarikh   : 2hb November 2010 (Selasa)
             Masa    : Selepas Solat Isya'
             Tempat : Surau Ar-Rahman

Semua AJK Surau Ar-Rahman Taman Impian Putra Jalan 4 Bangi Selangor adalah dijemput hadir.

Sekian, terima kasih.

HAJI MOHAMED BIN OTHMAN
Pengerusi
Surau Ar-Rahman

Thursday, October 28, 2010

SINAR HARIAN

Majlis Ramah Mesra dan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Pertama turut dilaporkan dalam Sinar Harian.


Sinar Harian (18hb Oktober 2010) m/s 25


Wednesday, October 27, 2010

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI PERTAMA 2010 DAN MAJLIS RAMAH MESRA TIP

17 Okt - Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Penduduk Jalan 4 Taman Impian Putra Bangi Selangor dan Majlis Ramah Mesra telah diadakan dengan jayanya. Dianggarkan hampir 500 orang yang terdiri daripada penduduk serta ahli keluarga telah hadir bagi meraikan majlis berkenaan.

Pelbagai juadah telah disediakan pada hari tersebut. Antaranya lemang, lontong, sate, bihun 4 rasa & daging rusa dan lain-lain. Persediaan bagi majlis ini telah bermula pada hari Sabtu (16 Oktober 2010) dengan aktiviti pemasangan khemah serta memasak yang turut dihadiri oleh kaum ibu.

berbincang strategi pelaksanaan program
antara kaum ibu yang hadir bagi menyediakan juadah
rendang yang sedang dimasak
lemang..antara menu utama
turut disajikan EPL 'live' dari TIP
Acara kemuncak bagi program majlis ramah mesra ini adalah Mesyaurat Agung Tahunan Persatuan Penduduk Jalan 4 Taman Impian Putra Bangi Selangor. Antara agenda utama adalah perlantikan AJK Persatuan yang baru bagi menggantikan AJK Penaja. Seramai 20 orang AJK telah dilantik dalam mesyuarat agung berkenaan iaitu Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua, Setiausaha, Penolong Setiausaha, Bendahari dan 15 orang AJK mengikut lorong masing-masing.

antara penduduk yang hadir

setiausaha panaja sedang membentangkan laporan

kaum ibu turut mengambil bahagian
Sdr. Esmail dan Semutrunner antara AJK baru yang dilantik
Syabas dan tahniah diucapkan kepada AJK Persatuan Penaja dan Surau Ar-Rahman atas kejayaan mereka menganjurkan program seumpama ini. Diharapkan majlis seperti ini dapat diadakan sekali lagi bagi mengeratkan lagi silaturrahim antara penduduk.

Sunday, October 3, 2010

MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI 1431H

Y.Bhg. Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan dan semua penduduk TIP,

Majlis sambutan Aidilfitri TIP yang telah dijadualkan pada 10 Oktober 2010 telah ditunda pada 17 Oktober 2010 (Ahad).

Sekian, harap maklum.

Friday, September 24, 2010

MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI 1431H

Y.Bhg. Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan dan semua penduduk,

Majlis Sambutan Aidilfitri 1431H Taman Impian Putra Jalan 4 akan diadakan seperti ketetapan berikut:

        Tarikh   : 10 Oktober 2010 (Ahad)
        Masa    :  10 pagi - 1.00 petang
        Tempat : Padang Permainan, TIP Jalan 4.

Bagi memeriahkan majlis sambutan tersebut, Y.Bhg. Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan dan semua penduduk TIP dijemput hadir beramai-ramai.

Tuesday, September 21, 2010

PENYATA TERIMAAN DAN BAYARAN PEMBINAAN SURAU AR-RAHMAN

Bersama ini disertakan penyata Terimaan dan Bayaran bagi pembinaan Surau Ar-Rahman berakhir 31 Ogos 2010 untuk makluman Y.Bhg. Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan dan semua penduduk TIP.
Penyata Terimaan dan Bayaran Pembinaan Surau Ar-Rahman
Segala sumbangan daripada Y.Bhg. Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan dan semua penduduk TIP amatlah dialu-alukan dan diucapkan jutaan terima kasih.

PENYATA TERIMAAN DAN BAYARAN SURAU AR-RAHMAN

Bersama ini disertakan Penyata Terimaan dan Bayaran Surau Ar-Rahman sehingga 31 Ogos 2010 untuk makluman Y.Bhg. Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan dan semua penduduk TIP.
Penyata Terimaan dan Bayaran Surau Ar-Rahman


Friday, September 10, 2010

SALAM AIDILFITRI 1431H


Selamat Hari Raya AidilFitri, maaf zahir dan batin kepada semua penduduk Taman Impian Putra Jalan 4 Bangi Selangor. Semoga lebaran ini disambut dengan gembira bersama keluarga tercinta.

Kepada yang pulang ke kampung atau ke mana sahaja semasa berhari raya nanti hati-hati ketika memandu.

Thursday, September 9, 2010

MAJLIS KHATAM AL-QURAN & IFTAR PERDANA TIP

Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Perdana telah dapat diadakan dengan jayanya di Surau Ar-Rahman TIP pada 4hb September 2010 bersamaan 25 Ramahan 1431H. Majlis ini telah dimulakan dengan bacaan Surah Yasin diikuti dengan Khatam Al-Quran.
Ustaz Faisal sedang memimpin bacaan Yasin
antara jemaah yang hadir
Majlis diteruskan dengan Iftar Perdana (berbuka puasa). Beberapa juadah telah disediakan oleh pihak penganjur untuk dinikmati oleh para jemaah Surau Ar-Rahman TIP.
apa nak makan nie?
antara juadah yang telah disediakan
para jemaah sedang menunggu giliran untuk mengambil juadah berbuka

Acara seterusnya adalah Solat Maghrib diikuti dengan taklimat keselamatan yang telah disampaikan oleh Ketua Balai Polis Bandar Seri Putra. Penyampaian cenderahati telah diberikan kepada peserta tadarus Al-Quran serta petugas-petugas Surau Ar-Rahman sepanjang bulan Ramadhan 1431H kemudian diteruskan dengan Solat Isyak dan Solat Sunat Terawih. Kemuncak majlis ini adalah tazkirah yang telah disampaikan oleh Imam jemputan dari Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Monday, August 23, 2010

YURAN KESELAMATAN TIP

Bersama ini dilampirkan Penyata Penerimaan dan Perbelanjaan bagi Yuran Keselamatan dari bulan Januari - Ogos 2010 untuk makluman Y.Bhg. Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan penduduk TIP.
Penyata Penerimaan dan Perbelanjaan TIP
Semoga usaha kita mendapat restu dan pertolongan daripada Allah S.W.T bagi menjaga ketenteraman dan keselematan penduduk TIP daripada perkara yang tidak diingini berlaku.

Sekian, terima kasih.

Haji Roslee bin Haji Abu
Pengerusi
Persatuan Penduduk Jalan 4, Taman Impian Putra
Bangi Selangor

Wednesday, August 18, 2010

MAJLIS BERBUKA PUASA DAN KHATAM AL-QURAN

Assalamualaikum w.b.t.

Jawatankuasa Surau Ar-Rahman ingin menjemput dan mempersilakan Y.Bhg. Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan dan semua penduduk Taman Impian Putra Jalan 4, Bangi Selangor ke Majlis Berbuka Puasa dan Khatam Al-Quran yang akan diadakan seperti ketetapan berikut:

Tarikh   : 4hb September 2010/ 25 Ramadhan 1431H (Sabtu)
Tempat : Surau Ar-Rahman (sementara) Taman Impian Putra
Masa    : 6.00 petang

Semoga kehadiran Y.Bhg. Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan dan semua penduduk Taman Impian Putra akan memeriahkan lagi suasana disamping memupuk semangat ukhuwah dikalangan penduduk.

Sekian, terima kasih.

Wassalam.

Monday, August 16, 2010

PEMBINAAN SURAU AR-RAHMAN TAMAN IMPIAN PUTRA

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Dasar Beringin Sdn Bhd (Pemaju) telah pun meluluskan pembinaan sebuah surau di Taman Impian Putra Jalan 4 Bangi Selangor. InsyaAllah pembinaan surau tersebut akan bermula pada bulan September 2010 dan dijangka siap pada bulan Disember 2010.

Anggaran kos bagi pembinaan surau ini adalah sebanyak RM300,000.00. Sumbangan daripada semua penduduk dan orang ramai amatlah dialu-alukan.

Surat kelulusan JAIS
Surat kelulusan Pemaju

PERSATUAN PENDUDUK TIP JALAN 4 BANGI SELANGOR

Dimaklumakan Persatuan Penduduk Taman Impian Putra Jalan 4 Bangi Selangor telah pun didaftarkan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Negeri Selangor.

Semoga semua aktiviti yang akan dan telah dirancangkan dapat diadakan dengan jayanya dengan sokongan Y.Bhg. Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan penduduk Taman Impian Putra Jalan 4 Bangi Selangor.

Sijil Pendaftaran TIP Jalan 4 Bangi Selangor

IHYA' RAMADHAN 1431

Assalamualaikum w.b.t.

Y.Bhg. Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan dan Semua Penduduk Taman Impian Putra Jalan 4,

Pihak Jawatankuasa Surau Ar-Rahman Taman Impian Putra Bangi Jalan 4 mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK kepada semua penduduk. Mudah-mudahan Ramadhan pertama kita di sini mendatangkan keinsafan dan kerahmatan kepada para penduduk. Bagi memeriahkan lagi kedatangan Ramadhan tahun ini, pihak Jawatankuasa Surau telah merangka beberapa program bagi mengimarahkan surau.

Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Surau Ar-Rahman telah bersetuju untuk mengutip sumbangan MINIMUM sebanyak RM30 bagi sebuah rumah untuk menampung perbelanjaan program yang telah disusun. Pihak Jawatankuasa telah melantik wakil kutipan berdasarkan lorong bagi memudahkan urusan pembayaran. Kutipan akan dimulakan pada 26 Julai 2010.

Selain itu, pihak surau juga mengalu-ngalukan sumbangan berbuka puasa dan moreh sepanjang bulan Ramadhan. Bagi memudahkan penyelarasan sumbangan ini, pihak penyumbang diminta untuk menghubungi Tuan Haji Zaini bin Jamaludin ditalian 012-2036160. Pihak Surau Ar-Rahman juga ada menyediakan Borang Tahlil Ramadhan kepada penduduk yang berminat. Tahlil akan diadakan sepanjang bulan Ramadhan selepas Solat Tarawih. Selain itu, sebagai persediaan awal menyambut Aidil Adha, Borang Korban dan Aqiqah juga dilampirkan.

Adalah diharapkan berkat sumbangan ikhlas Y.Bhg. Dato'/ Datin/ Tuan/ Puan akan meningkatkan lagi ukhuwah dikalangan para penduduk dan segala amalan tersebut diterima sebagai amal soleh di sisi Allah S.W.T.

Sekian, Wassalam.

KHAIRIL AZWAN
Setiausaha
Surau Ar-Rahman

Friday, August 13, 2010

SALAM RAMADHAN

Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada semua penduduk Taman Impian Putra Jalan 4 Fasa 6. Semoga segala Ibadat yang kita lakukan akan diterima oleh Allah.